CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, January 10, 2012

BIAR CINTA BERSULAM JIHAD 1

           
 Aku memandang ukiran awan yang berombak serta cahaya merah emas di kaki langit. Subhanallah! Alangkah hebat ciptaan Tuhan. Angin bayu dari pesisir pantai menyapa lembut seluruh tubuhku. Saat-saat beginilah bayangannya sering hadir mengetuk minda. Aku sering tertanya-tanya pada diri sendiri,entah sampai bila aku dapat bertahan untuk terus menunggu kehadiran dirinya. Entah betahkah aku menanti dirinya. Hingga saat ini, kenangan silam bersamanya senantiasa berlegar di fikiranku.
            “Hey budak! Kau jangan berani buat kacau lagi kat tempat ni. Kalau lagi sekali aku tengok muka kau kat sini,awas! Sepuluh saat pun dah cukup untuk aku jadikan engkau orang kurang upaya,faham?” gertak seorang lelaki berkaca mata yang sudah lencun dengan peluhnya. Tangan kirinya pula dilihat jelas sedang memegang sebatang kayu. Lelaki yang dipukulnya sebentar tadi ketakutan dan terus melarikan diri.
            Lelaki itu sempat melirik ke arahku. Aku menjengilkan mata kepadanya dan terus berlalu. Itulah dia, Imdad Wafiy. Lelaki yang paling kubenci walau hanya untuk melihat bayang-bayangnya. Aku benci pada kekerasan dan perilakunya tadi yang sudah bagaikan ulang tayang kali ketiga buatku menambahkan lagi rasa benciku padanya.
            Aku dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita yang berusia awal 30-an yang melabuhkan punggungnya di sisiku. Senyuman manisnya melenyapkan rasa marahku sebentar tadi dan berjaya mengheret diriku untuk turut tersenyum.
            “ Cantik sangat bila Mia senyum macam tu,” ujar Ustazah Aisya. Dialah satu-satunya wanita yang amat memahami diriku. Dialah insan yang sering kujadikan sebagai tempat luahan rasa dan dia jugalah pohon tempat untuk aku bersandar sepanjang masa setelah kematian kedua orang tuaku dua tahun yang lalu.
            “ Ustazah…permohonan Mia ke Gaza ditolak lagi,” lirihku. Ustazah Aisya terus saja tersenyum.
            “ Sabarlah sayang. Allah suka dengar suara hamba-Nya yang merintih pada Dia. Jangan pernah berhenti berdoa,” suara Ustazah Aisya seakan memujuk. Dia tahu benar dengan perangaiku. Setakat ini, sudah empat kali permohonanku untuk menyertai pasukan keamanan ke Palestin ditolak mentah-mentah namun aku tidak akan sesekali berhenti mencuba. Aku ingin sekali membantu para wanita dan kanak-kanak di sana. Aku ingin turut berkongsi penderitaan mereka. Aku juga ingin sama-sama berjuang menentang Zionis, satu ideologi yang dijadikan topeng Yahudi Laknatullah yang kejam melebihi binatang itu! Aku tidak rela menjadi boneka, cuma berpeluk tubuh dan sekadar menuturkan untaian kata simpati sedangkan perkara itu tidak langsung membantu. Semakin hari semakin ramai umat Islam yang terkorban dan menjadi mangsa kekejaman Yahudi yang angkuh dan ego!
                 ××        ××        ××        ××        ××        ××        ××       ××
            “ Damia Sumayyah!”
            Aku terus menoleh apabila mendengar namaku dipanggil. Ah,Wafiy! Niat aku untuk bertemu dengan Ustazah Aisya di bilik guru tidak kuendahkan kerana aku tidak ingin berada dekat dengan lelaki itu.
            “ Damia, awak nak jumpa Ustazah Aisya,kan?” soalnya. Namun aku terus beredar, tidak menghentikan langkahku dan terus berlalu dari situ.
            “ Ustazah tunggu awak di bilik mesyuarat. Terserahlah!” suara Wafiy bernada keras. Mungkin  bengang dengan tindakanku sebentar tadi. Aku menoleh dan ternyata dia sudah pun berlalu. Aku meneruskan langkah ke bilik mesyuarat. Wafiy benar, Ustazah Asya telah pun sedia menanti di situ. Belum pun sempat aku menyapa, Ustazah Aisya terlebih dulu memelukku erat dengan mata yang berkaca.
           


“ Alhamdulillah Damia. Ustazah dah dapatkan kebenaran daripada bapa saudara ustazah untuk luluskan permohonan kita ke Gaza.”
Lidahku kelu, tidak mampu berkata apa-apa. Hanya kesyukuran dirafakkan buat yang Esa kerana memperkenankan doaku. Terus sahaja air mataku bergenang. Ya Allah, tidak akan pernah terucap betapa syukurnya hamba-Mu ini atas kesempatan yang Engkau berikan.
            ××        ××        ××        ××        ××        ××        ××        ××
            Pandanganku dipusatkan ke sekeliling. Hampir 500 orang aktivis yang turut menyertai misi keamanan ini. Alhamdulillah. Masih ramai lagi yang berbesar jiwa dan rela bersama-sama turun padang untuk membantu rakyat Palestin yang teraniaya. Mereka dinafikan hak tanah air mereka sendiri. Aku mula membayangkan keadaan anak-anak kecil di sana yang hampir setiap detik dihujani peluru dan bom daripada kaum Yahudi. Naluriku bagaikan menarik-narik diriku untuk ke sana.
            Kapal besar yang kami naiki itu tiba-tiba mengalami gegaran yang kuat. Keadaan menjadi huru-hara apabila dua pemuda dari negara China ditembak dengan berdas-das tembakan. Aku tergamam. Tak sanggup untuk melihat darah yang terhambur keluar dari tubuh mereka. Seluruh tubuh kurasakan bergetar. Saat itu juga baru kusedari ada butiran peluru yang dilepaskan tepat ke arahku. Sungguh, tubuhku tidak dapat bergerak!
            “ Allahuakbar!!” aku mendengar kalimah itu daripada seorang lelaki yang cuba melindungiku. Darah pekat daripada bahunya terpercik ke mukaku.
            “ Wafiy?” aku terkejut bukan kepalang melihat lelaki yang melindungiku itu adalah Wafiy.
            “ Cepat ke sini,” arahnya. Melihatkan aku yang terlalu panik masih tidak berganjak, dia menarik lenganku agar mengikutnya bersembunyi di sebalik kotak-kotak besar yang berada di atas dek kapal. Sesekali Wafiy mengerang kesakitan. Aku terkesima, bagai orang bodoh. Aku tidak tahu apa yang harus dilakukan pada saat-saat genting itu. Keadaan menjadi sedikit tenang setelah ketua kapal, Kapten Mustafa mengatakan bahawa tentera Yahudi yang menyerang tadi sudah berundur buat sementara waktu tetapi itu tidak bermakna mereka tidak akan kembali. Aku menghela nafas lega. Buat seketika kami mampu tersenyum. Aku menoleh ke sisiku namun kelibat Wafiy sudah tidak kelihatan. Aktivis-aktivis lain yang mundar-mandir di hadapanku menyukarkan lagi usahaku untuk mencarinya. Entah mengapa, aku mula mengiktiraf kehadirannya jauh di sudut hatiku.
            Setibanya kami di Gaza, ramai daripada kalangan kami melakukan sujud syukur kepada Allah kerana apa yang kami impikan mula menjadi kenyataan. Palestin, usah gentar kerana kami kini di sini untuk bersamamu. Tanpa membuang masa, kami menuju ke petempatan yang terdekat, Bait El Lahm dengan membawa bekalan makanan dan juga ubat-ubatan. Sadis,hatiku pedih melihat anak-anak kecil yang kini menjadi budak gelandangan, menangis-nangis memanggil ibu bapa mereka yang entah masih hidup atau tidak. Darah kering dan luka-luka yang tidak terubat pada tubuh kecil itu membuatkan dadaku berombak hebat. Aku terus duduk di sisi Ustazah Aisya yang sedang leka mengubati kanak-kanak di situ.
            “ Alhamdulillah, kita selamat sampai kat sini,” ujarnya. Aku hanya mampu tersenyum bagi menyembunyikan keresahanku. Tiba-tiba, Wafiy memasuki khemah dan serta merta senyumanku tadi hilang apabila terpandangkan wajahnya. Aku membiarkan dia berbual dengan Ustazah Aisya. Pandangan Ustazah Aisya beralih pula padaku.
            “ Ustazah tahu yang Mia bencikan Wafiy. Mia, jangan mudah berburuk sangka Sebenarnya Mia dah salah faham pada dia. Sebenarnya Wafiy terpaksa menggunakan kekerasan semata-mata untuk melindungi junior-junior lain. Semua tu dah ada dalam pengetahuan pensyarah-pensyarah kuliah. Dia baik malah lebih baik daripada orang lain. Dia ke sini dengan seluruh keluarga dia.”
            Ustazah Aisya melirikkan senyum padaku. Aku tidak tahu reaksi apa yang harus aku tunjukkan. Apa yang pasti, hatiku senang mendengar semua pujian itu. Aku mengerling seketika memerhati Wafiy yang dikelilingi kanak-kanak dan beberapa orang aktivis yang lain. Tangannya asyik membelai kepala seorang bayi lelaki yang masih berbalut tangannya. Wafiy membalas pandanganku untuk sesaat namun itu sudah cukup membuatkan jiwaku bergetar. Lelaki yang kulihat ini seolah-olah bukan Wafiy. Keganasannya dulu sudah bertukar menjadi satu kelembutan. Wajah nakalnya yang amat kubenci sebelum ini terganti dengan ukiran senyuman yang mampu meruntunkan hati dan jiwa mana-mana gadis. Peristiwa di atas kapal itu kembali tertayang di fikiranku dan tanpaku sedari, aku tersenyum sendiri.

0 comments:

Post a Comment