CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, January 10, 2012

BIAR CINTA BERSULAM JIHAD 3

Ya Allah, aku masih hidup! Aku menggeliat lemah. Sekadar untuk membetulkan sendi-sendiku yang masih sakit. Aku memandang ke sekeliling. Aku kini berada di pesisir pantai sebuah pulau tetapi aku tidak dapat memastikan lokasi sebenar pulau ini.
            “Damia!” aku berpaling lemah. Hampir tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Kelibat manusia yang tidak asing lagi bagiku sedang berjalan menuju ke arahku.
            “ Syukurlah awak selamat, Mia!” lelaki itu menghembus nafas lega. Aku pula masih terpaku. Dia masih hidup? Bermimpikah aku melihat Wafiy di sini?
            “ Saya rasa awak masih trauma. Mari ikut saya ke khemah orang-orang kita di sana,” ajak  Wafiy. Aku hanya menurut. Pelbagai persoalan berlegar di benakku. Jika yang di hadapanku ini adalah Wafiy, siapa yang bersamaku ketika di penjara Yahudi itu? Aku terus saja mengikutnya tanpa bersuara sehinggalah kami tiba di sebuah kawasan  yang telah didirikan beberapa buah khemah. Aku diberi kesempatan untuk menukar pakaianku yang sudah penuh dengan simbahan darah sebelum luka-lukaku dirawat oleh seorang aktivis lain yang juga dari Malaysia. Aku juga diberitahu bahawa Wafiy sedang menunggu di luar khemah. Aku tersenyum sebagai ucapan terima kasih dan terus berlalu. Kulihat Wafiy sedang bersandar di bawah sepohon pokok rendang. Tangannya seakan mengarahkanku supaya mengikutinya ke sebuah tempat. Aku cuma menurut dan menyusulnya dari belakang sehinggalah kami tiba di pesisir pantai.
            “ Saya minta maaf kerana tak berikan kesempatan untuk awak berehat dulu. Sebenarnya tak terhingga rasa syukur saya bila saya jumpa awak tadi. Saya sangka awak takkan selamat dari cengkaman pihak Yahudi,” kata Wafiy sebagai pemula bicara.        
“ Boleh awak ceritakan bagaimana awak dan yang lain boleh selamat sampai ke sini?” tiba-tiba saja soalan itu yang terpacul dari bibir. Aku perlu tahu segalanya  kerana aku masih bingung dengan apa yang telah berlaku.
“ Pada malam tentera Yahudi menyerang, Ustaz Iqbal datang dan selamatkan kami semua tapi sayang, ramai yang telah tertangkap termasuk ibu, ayah dan abang saya.”
“ Abang?”
“ Hmm…abang kembar saya, Irfan Wafiy. Saya tak tahu dia ada di mana sekarang tapi saya tetap mengharapkan keajaiban berlaku, macam saya jumpa awak.” Wafiy mengeluh panjang. Aku bagai hilang kata-kata namun hanya Tuhan yang tahu betapa aku gembira mengetahui bahawa yang mati itu bukanlah Imdad Wafiy tapi abangnya. Saat aku menyangkakan bahawa Wafiy yang ditembak mati, aku mula menyedari bahawa aku tidak sanggup untuk kehilangannya. Andai dia halal buatku, pasti dari tadi lagi aku sudah mendakapnya.
“ Tapi keajaiban itu takkan berlaku Wafiy.”
“Kenapa awak cakap macam tu?” Wafiy tampak kehairanan. Aku terus saja membuka kembali peristiwa hitam yang bagaikan mimpi ngeri itu. Walaupun tenang namun aku tetap dapat merasakan kekecewaan Wafiy lebih-lebih lagi apabila mengetahui tentang kematian kembarnya. Anak matanya redup memandangku.
“ Jasad terkubur di bumi Palestin, itulah impian kami.”
“ Kami?” soalku kembali. Wafiy mengangguk dengan lagak bersahaja.
“ Damia, esok kapal penyelamat akan datang ke sini. Saya doakan moga semua orang dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Damia Sumayyah, sejujurnya andai diri ini diberi peluang untuk kembali ke Malaysia pada masa akan datang pasti saya akan nikahi awak tapi…saya tak fikir semua tu akan berlaku. Saya dan keluarga dah berjanji antara satu sama lain, biar putih tulang jangan putih mata. Kami akan terus berjuang hingga ke nafas yang terakhir. Saya akan kembali ke Gaza, siapa tahu ibu dan ayah masih hidup,” kata-kata terakhir itu menyesakkan dadaku hingga aku mengalirkan air mata.
            “ Jangan bersedih, Damia. Orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah akan sentiasa berada di bawah naungan Arasyh-Nya.” Wafiy bersuara tenang. Dia benar. Aku cuba untuk bertenang dan berusaha untuk mengawal perasaan. Walaubagaimanapun, aku tetap tidak dapat menafikan getaran hebat dalam hatiku.
××        ××        ××        ××        ××        ××        ××        ×× 
Sudah hampir tujuh tahun peristiwa itu berlalu namun aku masih tetap menaruh harapan agar satu hari nanti Wafiy akan kembali meskipun aku tahu, harapanku itu sukar untuk menjadi satu kenyataan.
Aku kembali merenung ke dada langit yang kini sudah dipenuhi dengan butiran bintang. Biarpun kami berjauhan, aku tetap berharap saat ini dia turut memandang bintang yang sama denganku, andai dia masih bernyawa. Ya Allah ya ‘Alim, Engkau lebih mengetahui segala-galanya. Engkau peliharalah dia di bawah naungan-Mu di saat kasih sayangku tidak sampai padanya namun sekiranya dia telah Engkau panggil untuk bersama-Mu, Kau jadikanlah dia antara syuhada yang menghiasi taman syurga-Mu. Engkau juga mengetahui sesungguhnya Damia Sumayyah selamanya akan menanti kehadiran Imdad Wafiy walau hingga ke hari akhirat-Mu. Kini pendirianku hanya satu, biar cinta bersulam jihad, biar kasih hingga ke syurga.

p/s: Cerpen ni hasil rekaan ana tapi dah diolah sikit oleh...ehem2...someone...haha...kire gabungan dua jiwa la ni..ahak2..so..agaplah penulis cerpen ni bernama AIRA...hehe...kalau ada komen jangan segan silu nak bgtau..daa! 

0 comments:

Post a Comment