CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, January 10, 2012

BIAR CINTA BERSULAM JIHAD 2

Jumaat, 4 pagi. Kami dikejutkan dengan satu dentuman yang kuat. Aku bergegas mencapai tudungku lalu berlari ke arah Ustazah Aisya yang mula kelihatan cemas. Kami dapat menangkap suara Wafiy menjerit di luar khemah.
            “ Cepat, pindahkan mereka semua. Bawa mereka lari ke tempat lain. Yahudi bangsat sedang menuju ke sini!”
            Bagaikan kilat menyambar ke tubuhku. Seluruh urat sendiku bagaikan terlerai. Ya Allah, kuatkanlah diriku. Keadaan semakin kelam-kabut apabila masing-masing bertempiaran lari tanpa sebarang hala tuju. Masih adakah lagi tempat yang selamat buat mereka? Aku  mendengar bunyi tembakan yang tidak henti dan pada masa yang sama aku menyaksikan seorang ibu dan anaknya yang masih kecil mati dengan beberapa kesan tembakan di kepala mereka. Tidak cukup dengan itu, seorang wanita muda yang hamil terburai isi perutnya akibat ditembak dengan tembakan dari jarak yang dekat. Sungguh, Yahudi langsung tidak berperikemanusiaan. Badanku terasa longlai menyaksikan  kekejaman yang berlaku di hadapan mataku. Duniaku terasa kian malap, aku terjatuh dan kepalaku terhantuk kuat. Dapat kurasakan jasadku ditarik dan diperlakukan seperti binatang. Aku tidak mampu melawan kerana terlalu lemah.
            ××        ××        ××        ××        ××        ××        ××        ××
            Seluruh tubuhku terasa perit. Aku cuba untuk membuka mataku. Kedua-dua tanganku diikat dengan tali kasar, persis orang yang disalib. Darah di kepalaku mungkin saja telah kering dan aku dapat merasakan rekahan luka yang mengeras di bahagian belakang kepalaku. Ya Rabb,sakitnya! Aku mula menyedari akan kehadiran satu jasad yang turut berkeadaan sepertiku Kepalanya ditutup dengan kain hitam. Keadaannya kelihatan amat teruk. Kesan darah seolah-olah menyimbah pada pakaiannya. Kakinya juga berlubang kecil akibat ditembusi peluru.
            Selang lima minit kemudian, jasad di hadapanku itu masih tidak sedarkan diri. Nafasku pula terasa sesak seakan seluruh liang pernafasanku disekat. Bilik kecil yang agak gelap itu menambahkan lagi kesukaranku untuk bernafas. Aku bertafakur. Selang beberapa minit lagi, tiga orang lelaki menerjah masuk ke dalam bilik itu dengan berpakaian tentera dan secara tidak langsung segala rasa seksaku tadi lenyap begitu sahaja. Perasaan benci dan dendam kini menguasai diriku hinggakan seluruh wajahku bertukar kemerahan. Mereka terus saja membelasah lelaki di hadapanku itu tanpa belas sehingga kain hitam yang menutup kepalanya jatuh ke lantai.
            “ Masya Allah, Wafiy!” jeritku. Ketiga-tiga lelaki yang layak dilabel binatang itu mendekati aku pula. Mereka mengeluarkan kata-kata kesat padaku seraya cuba untuk menarik tudung yang masih kemas di kepalaku. Aku hanya mampu menjerit dan saat itu aku menerima satu tamparan kuat di pipi hingga hujung bibirku berdarah. Telinga kananku juga terasa bengang. Mereka sama-sama ketawa puas melihat aku kesakitan.
            Wafiy yang telah terkulai lemah sebentar tadi bagaikan mendapat satu semangat baru setelah dia sendiri melaungkan nama suci Allah. Begitu juga aku. Aku cuba untuk kembali berdiri tegak dan membalas pandangan tajam Zionis itu.
            “ Sudah cukup kuatkah kamu dengan hanya membunuh anak-anak kecil? Sudah cukup berkuasakah kamu hanya dengan merendahkan martabat kaum wanita dengan mencabul kehormatan mereka? Ya, memang kamu boleh menginjak-injak umat Islam di sini tapi jangan kamu pernah lupa bahawa Allah itu lebih berkuasa daripada kalian! Satu hari nanti Allah pasti akan melaksanakan azab seksa untuk kalian setimpal dengan apa yang telah kalian lakukan!” tegas Wafiy dengan fasih berbahasa arab. Aku terpaku  dengan kelantangan suara Wafiy yang bergema di segenap bilik kecil itu. Aku tersenyum kagum buatnya. Dia hebat!
            Ketiga-tiga lelaki tadi terus menumbuk dan menendang perut Wafiy sebelum keluar dari situ. Wajah mereka merah padam menahan marah. Kasihan Wafiy. Aku cuba menahan air mataku daripada mengalir saat melihat Wafiy yang mengerang kesakitan.
            “ Saya tahu awak kuat Wafiy, kita tak boleh mengalah dengan mereka,” aku menghembuskan kata-kata semangat kerana hanya itu yang aku mampu. Kulihat Wafiy semakin tidak berdaya. Lain benar wajahnya tanpa kaca mata.
            Malam dan siang silih berganti. Kami langsung tidak diberi makan atau minum. Aku dan Wafiy hanya mampu bersolat sekadar untuk menghormati waktu dalam keadaan tergantung di situ. Pergelanganku juga sudah lebam kesan ikatan yang kuat. Kami sama-sama cuba untuk bertahan kerana kami tahu, apa yang dialami kini tiada tandingannya dengan penderitaan yang telah dialami oleh rakyat Palestin yang telah lama merasainya sejak berkurun lalu. Saat mentari sudah hampir terbenam bersama kesamaran cahayanya, nafasku sudah benar-benar hampir mencapai nokhtahnya. Aku benar-benar sudah tidak berdaya. Namun saat itu jugalah, aku merasakan gegaran yang agak kuat dan lantai mula merekah. Aku dan Wafiy saling berpandangan dengan penuh debaran. Siapa tahu itu mungkin bom yang bakal meledak dan meleraikan anggota tubuh kami. Rekahan lantai itu mula membentuk sebuah lubang yang agak besar berhampiran dengan tempat aku berdiri.
            Dari lubang itu keluar seorang lelaki yang agak berusia dan yang pasti aku mengenalinya. Dia Ustaz Iqbal , bapa saudara Ustazah Aisya yang telah meluluskan permohonanku untuk ke sini. Dia terus membuka ikatan kami dan memapah Wafiy yang berkeadaan seperti orang yang sudah tidak bernyawa.
            “ Ayuh, Damia! Masuk ke dalam lubang ni. Kita terpaksa gunakan laluan bawah tanah untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak tentera. Aktivis lain yang tertangkap sudah pun diselamatkan. Cepat!”
            Aku menyusul Ustaz Iqbal dan Wafiy dari belakang. Meskipun laluan bawah tanah itu agak dalam, kami masih dapat merasakan gegaran ledakan bom di atas sana. Aku tetap cuba menenangkan hati dengan mengingati janji Allah di dalam surah Al-Anfal, ayat 66 yang membawa maksud,
            “ Sekarang Allah telah meringankan kamu kerana Dia mengetahui bahawa ada kelemahan padamu. Maka jika di antara kamu ada seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan jika di antara kamu ada seribu orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan seizin Allah. Allah berserta dengan orang-orang yang sabar.”
            Ya, aku tahu bahawa Allah itu sentiasa bersama. Aku juga tahu, sesungguhnya suatu hari nanti umat Islam pasti bangun menentang kekejaman Israel dan memperoleh kemenangan abadi. Aku tahu dan aku yakin, saat itu pasti tiba! Aku tersentak daripada layanan perasaan apabila mendengar suara Ustaz Iqbal mengarahkanku segera memanjat keluar dari lubang. Alhamdulillah, sudah sekian lama baru kini aku boleh kembali menghirup udara segar. Dari tempat itu juga aku dapat melihat beberapa buah helikopter yang sudah bersedia untuk terbang.
            “ Cepat, mereka sudah menyedari akan kedatangan kita!” laung salah seorang pemandunya. Kami bergegas berlari dengan hanya sisa kudrat yang ada. Baru saja aku ingin mencapai pintunya,aku terjatuh kerana terlalu lemah. Wafiy sempat duduk melutut di hadapanku.
            “  Ana takkan pulang bersama kerana ana dah bernazar, sekali kaki ana memijak bumi Palestin ni, kesudahannya hanyalah syahid. Jaga diri anti dan adik ana baik-baik.” Wafiy bersuara tegas. Aku kehairanan mendengar kata-kata Wafiy tadi namun tidak sempat untukku endahkan persoalan yang ada. Aku masih tidak mampu untuk berdiri dan kekuatanku juga seakan kian pudar dengan kata-kata Wafiy.
            “ Aaaah!”  tiba-tiba saja Wafiy mengerang sakit. Rupa-rupanya sudah tiga butir peluru terkena tepat pada lengan dan kakinya. Aku benar-benar cemas melihat keadaannya. Tanpa kuduga, Wafiy menarik kasar tanganku lalu menolak kuat tubuhku ke dalam helikopter dan dengan pantas dia menutup pintu helikopter itu tanpa sempat aku atau Ustaz Iqbal melakukan apa-apa. Saat itu juga kami mula berlepas. Aku dapat melihat sisa darah Wafiy melekat pada cermin tingkap. Hampir saja kami mencecah udara 500 meter, jelas di mataku jasad Wafiy ditembak berdas-das oleh sekumpulan lelaki hingga seluruh tubuhnya hampir hancur.
            “ Wafiyyyyyy!!” aku meraung sekuat hati. Kali ini aku benar-benar tidak dapat menahan perasaan. Air mata yang selama ini kuhadangkan dengan ketabahan tumpah jua. Aku menangis semahunya melihat tubuh Wafiy yang sudah hampir terputus dua  masih dilanyak oleh insan-insan yang berhati syaitan itu!
            “ Damia,kita harus tetap teruskan perjuangan. Pegang palang tu kuat-kuat, kita diserang!” Ustaz Iqbal bersuara cemas. Beberapa buah pesawat milik orang Islam sudah pun diletupkan. Helikopter kami juga turut hilang kawalan. Ustaz Iqbal pantas membuka pintu lalu menyuruhku terjun sebelum semuanya meletup. Hamparan luas samudera biru di bawah sana membuatkanku berfikir seketika untuk beberapa detik. Aku menutup mata serapatnya dan menyerahkan segalanya kepada sang penguasa alam. Tubuhku bagaikan melayang di ruang udara ditiup amukan badai.

0 comments:

Post a Comment